Info Tentang Wanita

BTemplates.com

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.

Senin, 30 Juni 2014

Hukum Isteri Minta Cerai Pada Suami



Soalan; asmkwbt Ustaz; apakah hukumnya seorang wanita meminta "dilepaskan" daripada suaminya. (berdosa atau haram?). semoga jawapan ustaz dapat menenangkan hati dan perasaan saya. terima kasih

Jawapan;

Terdapat sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana wanita (isteri) meminta cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau Syurga(yakni akan ditegah dari mencium bau Syurga)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Tsauban RA. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan. al-Jami' as-Saghier, no. hadis; 2944).

Dari hadis di atas kita memahami bahawa; sengaja meminta penceraian dari suami hukumnya adalah haram dan berdosa. Namun jika ada ada desakan atau sebab yang munasabah, hukumnya adalah harus. Menurut ulamak; contoh desakan ialah; suami yang zalim, suka mendera isteri, tidak memberi nafkah dan mengabaikan tanggungjawab atau sebagainya. Atau isteri merasakan tidak upaya lagi menunaikan tanggungjawab kepada suami jika kekal bersama. Kerana itu, diharuskan khulu' (tebus talak) iaitu isteri meminta suami menceraikannya dan berjanji memberinya suatu bayaran atau mengembalikan mas kahwinnya.

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Isteri kepada Tsabit bin Qies telah datang kepada Nabi SAW (untuk menyatakan hasratnya meminta cerai dari suaminya). Ia berkata kepada Nabi SAW; "Ya Rasulullah SAW, aku ingin meminta cerai dari Tsabit (suamiku) bukan kerana aku mencela agamanya dan akhlaknya, akan tetapi aku bimbang menjadi kufur (engkar)(*yakni kufur dalam pengertian engkar hak/kewajipan terhadap suami atau memilih untuk kufur (murtad) supaya terfasakhnya nikah)". Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya; "Sanggupkah kamu mengembalikan tanah kebun yang ia berikan kepadamu sebagai mas kawin ketika perkahwinan kamu dulu?". Ia menjawab; "Ya, aku sanggup". Ia pun mengembalikan tanah kebun itu. Rasulullah lalu berkata kepada Tsabit; "Ceraikanlah dia". (HR Imam al-Bukhari. Soheh al-Bukhari, 5276).

Wallahu a'lam.

Minggu, 29 Juni 2014

Hukum Guna Minyak Pengasih Untuk Suami ?


Soalan; ASSALAMUALAIKUM, APAKAH HUKUM JIKA SAYA MENGGUNAKAN MINYAK PENGASIH KEPADA SUAMI? DENGAN NIAT SAYA INGIN MENJAGA RUMAHTANGGA...., INGIN SELALU DIKASIHI SUAMI...., DAN UNTUK ELAKKAN DARI PERGADUHAN. SUAMI SAYA SEORANG YANG CEPAT MARAH (BARAN). KADANGKALA BILA BERBUAL ADA YANG TERSILAP KATA, TERUS MARAH2. KADANGKALA SEHINGGA SELALU MAIN2 DENGAN PERKATAAN CERAI. SAYA TAK MAMPU LALUI SEGALANYA. SAYA JUGA TELAH MENGGUNAKAN MINYAK ANUGERAH SERI DAN SUAMI ISTERI. ALHAMDULILLAH ADA PERUBAHAN. SEGALANYA KERANA ALLAH TAALA. NIAT SAYA SANGAT2 INGINKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA DAN INGINKAN PERUBAHAN SUAMI. HARAP USTAZ DAPAT BANTU MENJAWAP.

Jawapan;

Elakkan dari amalan pengasih kerana ia membawa kepada Syirik. Berubat dengan syirik umpama mengambil dadah yang mana ia menenangkan seketika, tetapi membawa derita selama-lamanya di kemudian hari.

Yakinlah kepada Allah, jangan berputus asa mengharap kepadaNya, jaga solat fardhu, banyakkan solat hajat dan beristighfar, manfaatkan ketika sujud untuk memohon hajat kepada Allah. Penyelesaian dengan minyak pengasih akan membawa kemusnahan di kemudian hari, bayangkan bagaimana jika suami mengetahui? Namun pengelesaian dari Allah akan membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Yakinlah kepada Allah dan jangan berputus asa dari rahmah dan kurniaanNya.

Wallahu a'lam.

Memohon Maaf Kerana Melakukan Zina ?



Soalan; Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Ustaz, Soalan saya adalah berikut: Sekiranya seorang lelaki yang sudah berkahwin berzina dengan isteri orang, dan sekarang beliau telah insaf dan melakukan taubat nasuha, adakah lelaki itu wajib meminta maaf kepada suami wanita tersebut? Terima kasih.

Jawapan;

Zina adalah dosa yang amat besar di dalam Islam apatahlagi jika dilakukan dengan wanita yang telah bersuami. Perbuatan tersebut menganiayai si suami terbabit, menjatuhkan air mukanya dan menghancur-luluhkan hatinya jika ia mengetahuinya. Berkata Imam Ibnu Hajar; "Zina ada beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tak bersuami sudah dikira dosa besar. Lebih besar lagi dosa jika dilakukan dengan wanita ajnabi yang besuami. Lebih besar dari itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya (yakni hukuman had yang dikenakan ke atas penzina yang pernah berkahwin lebih berat iaitu direjam sampai mati, berbanding yang belum berkahwin hukumannya disebat 100 rotan). Zina oleh orang tua lebih keji dari zina oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji dari zina yang dilakukan oleh hamba dan orang jahil" (az-Zawajir 'An Iqtiraf al-Kabair).

Orang yang terlanjur melakukan zina hendaklah segera bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha iaitu dengan memenuhi semua syarat-syarat taubat iaitu;

1. Meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan sepenuhnya
2. Menyesal sesungguh hati atas ketelanjuran melakukannya
3. Berazam dengan keazaman yang bulat/penuh tidak akan mengulagi lagi dosa dan maksiat tersebut.

Di samping ia hendaklah memperbanyakkan amal-amal soleh dan kebajikan kerana amal-amal yang baik akan menutup kejahatan-kejahatan yang lalu. Firman Allah (bermaksud); "Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat" (Surah al-Furqan, ayat 71).

Perlukah ia memberitahu perbuatan zinanya kepada orang lain (termasuk suami wanita yang dizinainya) sebagai tanda taubat dan penyesalan? Jawapannya; memadai dengan kita melakukan apa yang disuruh oleh Syariat sebagai tanda taubat kita iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat nasuha tadi. Syariat tidaklah mensyaratkan orang berzina mesti mengisytiharkan perbuatan zinanya sebagai syarat sah taubatnya. Malah terdapat hadis dari Nabi memerintahkan supaya kita tidak menghebahkan dosa yang kita lakukan, sebaliknya kita mengekalkannya menjadi rahsia antara kita dan Allah setelah kita memohon ampun dariNya. Sabda Nabi (bermaksud); "Setiap umatku akan diampunkan Allah dosanya kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosa/maksiatnya). Di antara penzahiran ialah; seorang lelaki melakukan satu perbuatan dosa di malam hari dan Allah telah menutupnya dari diketahui orang lain. Namun apabila ia bangun pagi, ia menceritakan kepada orang lain; 'Wahai fulan, aku telah melakukan perbuatan sekian sekian semalam'. Allah menutupinya di malam hari, namun di pagi hari dia sendiri yang mendedahkan tutupan Allah ke atasnya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Baginda juga bersabda; "Allah tidak menutupi seseorang hamba di dunia melainkan Ia akan menutupinya di akhirat" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mengulas hadis tersebut, Imam an-Nawawi menegaskan; Adalah makruh orang yang terlanjur melakukan maksiat memberitahu perbuatan maksiatnya kepada orang lain, akan tetapi hendaklah ia meninggalkan maksiat, menyesalinya dan berazam tidak akan kembali melakukannya. Melainkan jika ada suatu maslahah untuk ia memberitahunya seperti memberitahu guru atau syeikhnya untuk mencari jalan keluar dari maksiatnya, atau untuk selamat dari terjebak dalam maksiat yang sepertinya, atau untuk mengetahui punca ia terjebak dalam maksiat tersebut atau supaya gurunya mendoakan untuknya, maka tidaklah makruh ia memberitahunya. Berkata Imam al-Ghazali; pendedahan yang dicela ialah jika dilakukan dengan tujuan sengaja ingin menzahir atau menceritakan dosa atau maksiat yang dilakukan atau untuk mempermain-mainkan. Adapun dengan tujuan bertanya soalan atau meminta fatwa tidaklah dicela berdalilkan hadis yang menceritakan; seorang lelaki yang terlanjur bersetubuh dengan isterinya pada siang hari di bulan Ramadhan, lalu ia datang kepada Nabi dan menceritakan apa yang berlaku dan Nabi tidak menegah perbuatannya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6279)

Merujuk kepada soalan saudara, tidak perlulah orang terlibat mendedahkan perbuatan zinanya kepada si suami semata-mata untuk memohon maaf darinya. Hendaklah ia menyesali perbuatannya, memohon ampun kepada Allah dengan sesungguh hati, membanyakkan amal-amal soleh dan mendoakan kesejahteraan orang yang teraniayai dengan kerana perbuatan maksiatnya itu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Laman Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), fatwa no. 95024, 47924.
2. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 6279.

Senin, 16 Juni 2014

Pentingkah Status Dara Dalam Sebuah Perkahwinan ?




Soalan; Assalaamualaikum,.. saya mahu bertanya, pentingkah dara dalam mendirikan rumahtangga? berdosakah perempuan yang melakukan zina dengan paksaan??

Jawapan;

1. Apa sahaja kesalahan yang dilakukan dengan paksaan, orang yang melakukannya kerana dipaksa itu tidak dianggap berdosa di sisi Syariat sebagaimana sabda Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Sesungguhnya Allah menggugurkan dari umatku (dosa yang mereka lakukan kerana) tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atas mereka" (HR Ibnu Majah dari Ibnu 'Abbas -radhiyallahu 'anhu-). Tetapi hendaklah paksaan itu yang benar-benar paksaan iaitu yang menafikan kehendak diri, iaitu orang yang melakukannya tidak redha dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.

2. Mengenai dara, tidaklah seorang wanita (atau walinya) wajib mendedahkan keadaan dirinya kepada lelaki yang meminangnya apakah ia masih mempunyai dara atau tidak. Dan apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, kemudian ia mensyaki isterinya telah tidak mempunyai dara, apabila ia bertanya isterinya, tidaklah wajib isteri menjawab soalan itu (dalam kata lain; tidaklah perlu ia mendedahkan kisah silamnya kepada suami). Jika suami ingin menceraikannya kerana sebab tersebut terpulanglah kepada suami (kerana kuasa talak/cerai ada pada suami), tetapi itu bukanlah akhlak yang baik. Suami hendaklah berbaik sangka terhadap isterinya kerana hilang dara tidak semestinya kerana berzina, ia mungkin terjadi dengan sebab lain (kerana terjatuh, darah haid terlalu banyak, kerana tertusuk sesuatu atau sebagainya). Malah sekalipun isterinya pernah berzina pada masa silamnya, tidak perlu suami mencungkil masa silam isterinya apabila isterinya telah menampakkan kesolehannya pada pandangan zahirnya (kerana itu menunjukkan ia telah bertaubat kepada Allah). Keaiban yang telah ditutup Allah tidak perlulah kita membukanya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa menutup keaiban seorang muslim yang lain, Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar).

Nabi juga pernah bersabda; “Jauhilah oleh kamu sekelian perbuatan keji (zina, minum arak dan sebagainya). Sesiapa yang pernah melakukan sesuatu darinya, hendaklah ia menutup diri dengan tutupan Allah (yakni jangan ia mendedahkan apa yang disembunyikan Allah) dan hendaklah ia bertaubat kepada Allah, kerana sesiapa membuka perihal dosanya kepada kami (pemerintah) kami pasti akan melaksanakan ke atasnya hukuman yang ditetapkan oleh Kitab Allah” (HR al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti; soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 175).

Berkata Imam al-Munawi –mengulas hadis ini-; “Difahami dari hadis ini; sesiapa telah melakukan sesuatu dari maksiat, hendaklah ia menyembunyikannya (yakni tidak mendedahkannya kepada orang lain). Dari itu, adalah ditegah perbuatan mengintip orang yang melakukan maksiat kerana itu membawa kepada melubangi/mengoyak tutupan Allah (kepada hambaNya)..Terdapat syair menyebutkan; Jangan kamu mencari keaiban manusia yang tersembunyi, Nanti Allah akan membuka tirai yang menutup keaibanmu. (Faidhul-Qadier)

3. Dikecualikan jika bakal suami telah mensyaratkan (kepada bakal isterinya atau kepada walinya); hendaklah bakal isterinya itu seorang yang masih dara, pada ketika itu -jika bakal isteri telah tidak mempunyai dara- hendaklah berterus terang, tetapi tidaklah wajib memberitahu punca ketiadaan dara itu. Keaiban diri kita (atau orang lain), jika perlu diberitahu kepada orang lain, kita hanya harus memberitahu sekadar perlu sahaja, bukan menceritakan segala-galanya. Jika bakal isteri atau walinya menipu dalam masalah ini -sedang bakal suami telah meletakkan syarat sebegitu-, menurut sebahagian ulamak; setelah berlaku akad, suami mempunyai hak khiyar (hak memilih) antara meneruskan akad atau membatalkannya (yakni memohon agar dibatalkan perkahwinan dan menuntut gantirugi maskahwin dari orang yang menipunya).[1] 4. Apabila seorang lelaki ingin memilih seorang wanita untuk menjadi isterinya, apa yang disuruh oleh Nabi untuk diperhatikan ialah agamanya. Sabda Nabi; “Dikahwini seorang perempuan itu kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Kamu pilihlah perempuan yang patuh kepada agama. Jika tidak kamu akan rugi/kecewa”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Maksud memerhati agama bukanlah dengan bertanya ia ada dara atau tidak?, tetapi dengan melihat kesolehannya; cara berpakaiannya, akhlaknya, ibadahnya, pergaulannya dan sebagainya. Sekalipun seorang wanita pernah terlanjur pada masa silamnya, namun pada masa kini ia telah berubah menjadi wanita yang solehah dan menjaga agama (menutup aurat, menjaga akhlak dan pergaulan, menjaga ibadah), ia termasuk dalam wanita yang menjaga agama yang dimaksudkan oleh Nabi. Dalam keadaan lain pula, jika seorang wanita belum pernah terlanjur, tetapi keadaan semasanya tidak menampakkan kesolehan (tidak perpakaian secara Islam, tidak menjaga ibadah dan pergaulan) ia bukanlah wanita yang menjaga agama sekalipun mungkin daranya masih ada.

3. Kesimpulannya, ketiadaan dara tidaklah menjejaskan akad perkahwinan, cuma ia dianggap suatu kekurangan. Wujudnya kekurangan sebegitu pada pasangan tidaklah menjejaskan akad kecualilah jika disyaratkan sebagaimana dijelaskan tadi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 190

2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan; Bikarah.

3. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 175 dan 2114, 3372.

Nota hujung;

[1] Iaitu pandangan mazhab Maliki dan sebahagian ulamak mazhab Syafiie dan Hanbali. Pandangan lain (iaitu mazhab Hanafi); perkahwinan tetap sah sekalipun syarat yang dipersetujui itu dilanggari. Dalam mazhab Syafiie terdapat dua pandangan bagi masalah seperti di atas (yakni masalah pelanggaran terhadap suatu sifat yang disyaratkan oleh suami bagi bakal isterinya);

Pertama; perkahwinan adalah terbatal. Jika isteri belum disetubuhi, tidak wajib ia membayar sebarang maskahwin kepadanya. Jika telah disetubuhi, wajiblah ia membayar maskahwin misil kepada isterinya, kemudian ia menuntut ganti rugi maskahwin itu dari orang yang terlibat menipunya. Pandangan kedua; perkahwinan tetap sah, kemudian bagi sifat yang dilanggari itu hendaklah dilihat; jika sifat yang dilanggari itu lebih baik dari yang disyaratkan, tidak ada pilihan bagi suami untuk membatalkan akad. Namun jika didapati ia lebih bawah dari sifat yang disyaratkan, suami mempunyai pilihan untuk membatalkan akad. Sebahagian ulamak berkata; tidak perlu hak memilih kepada suami kerana ia mempunyai kuasa talak. Ia berbeza dengan pihak perempuan yang tidak mempunyai kuasa talak, maka diberi kepadanya hak memilih bagi kes sebegini. (Takmilah al-Majmu’, 16/287, 16/289).

(Lihat; at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 190).